Circum Arctic Permafrost

Fros Perma (tanah beku) di Artik mengandungi lebih 1/3 dari kandungan karbon di dalam tanah di bumi. Sekiranya karbon mula dilepaskan ke atmosfera, akibat pencairan fros perma, bahayanya adalah jauh lebih serius jika dibandingkan dengan pelepasan gas rumah hijau akibat perbuatan manusia.

Arctic

Ini adalah aspek yang kerap dibincangkan apabila isu pemanasan global dibangkitkan. Apa yang jarang diperkatakan adalah bahaya yang akan dihadapi oleh manusia apabila pencairan ais di Kutub Utara yang mana akan menyebabkan ribuan jenis racun dilepaskan ke lautan. Saintis sudah lama mengetahui bahawa bahan pencemaran dari kawasan selatan kutub, akibat penolakan udara, ‘berhijrah’ ke Kawasan Artik. Penghijrahan ini dikenali sebagai “grasshopper transport” di mana bahan mudah meruap disejat daripada kawasan panas diangkut ke atmosfera kemudian meluap menjadi titik-titik air di kawasan sejuk. Para pengkaji dari University of Utah, Amerika Syarikat telah pun memperoleh bukti bahawa sejak akhir abad ke 19 lagi, lapisan ais di kawasan Artik sudah diliputi oleh bahan pencemaran yang terdiri dari zarah logam yang terhasil dari aktiviti perindustrian di Eropah. Sejak zaman Revolusi Industri lagi kawasan Astik sudah dicemari!!

Global warming

Kajian ke atas lapisan ais di Artik telah menunjukkan kehadiran bahan-bahan beracun pada kadar yang sangat tinggi. Kandungan raksa yang sangat tinggi, melebihi kadar yang dibenarkan oleh WHO, ditemui pada para penghuni yang mendiami kawasan berhampiran Artik. Kandungan raksa yang tinggi juga dijumpai pada hidupan laut berhampiran kawasan tersebut. Begitu juga dengan sekumpulan bahan kimi organik yang dikenali sebagai Persistent Organic Pollutants (POP) yang dihasilkan dari industri dan penggunaan racun pertanian. Racun serangga seperti Dichloro-Diphenyl-Trichloroethane (DDT), meskipun telah diharamkan di banyak negara, masih berlegar di dalam kitaran ekologi kawasan kutub.

Pembebasan gas Methana di Perairan Artik

Selama ini, bahan pencemaran terperangkap di dalam ais dan fros perma. Suhu yang rendah melambatkan proses pereputan bahan-bahan tersebut dan ini secara berterusan akan meningkatkan kepekatannya di dalam ais. Hanya jumlah yang sedikit sahaja dapat dilepaskan dan menjadi sebahagian dari kitaran ekologi kawasan kutub. Sifat kekal bahan-bahan ini menyebabkan ia berada di dalam kitaran tersebut dalam jangka waktu yang sangat lama. Berdasarkan penyelidikan terbaru, apabila ais lautan Artik mula mencair, fros perma akan memanas lebih cepat dari tahap yang dijangka. Pencairan fros ini akan melepaskan jumlah karbon yang cukup besar ke atmosfera, mempercepat proses pemanasan global. Metana, satu lagi gas rumah hijau sudah pun diketahui mula dikeluarkan dari fros perma di dasar lautan Siberia. Para penyelidik dari International Siberian Shelf  Study telah pun mengesan tahap gas metana yang tinggi di atas permukaan air dan tahap yang jauh lebih tinggi di bawah permukaan air.

Pembebasan gas metana di dasar lautan Siberia

Bayangkan : jumlah racun sudah pun ditemui pada hidupan Artik pada kadar yang cukup tinggi. Apa yang lebih membimbangkan adalah, apabila ais mula mencair akibat dari pemanasan global, bahan pencemaran ini akan dilepaskan ke dalam lautan dalam jumlah yang tinggi. Lebih banyak dari racun-racun ini akan mula memasuki kitaran ekologi dan akan pasti memberikan kesan yang buruk kepada manusia.

Pencairan Fros Perma